Monday, March 2, 2009

Ibu kembar 8 ditawar berlakon filem lucah


Penerbit sedia beri RM3.7 juta, insurans kesihatan

CALIFORNIA: Ibu kepada kembar lapan yang dilahirkan bulan lalu menjadi sasaran syarikat hiburan dewasa yang bersaing, termasuk tawaran AS$1 juta (RM3.7 juta) untuk membintangi filem lucah.

Nadya Suleman, yang menjadi tumpuan perdebatan panas di media dan bidang perubatan sejak melahirkan kembar lapan itu, kini terjebak dalam perbalahan membabitkan penerbitan lucah yang saling bersaing.

Syarikat beribu pejabat di Los Angeles, penerbit filem dewasa terbesar dunia, mengumumkan ia sudah menawarkan AS$1 juta kepada Nadya termasuk insurans kesihatan setahun jika penganggur berusia 33 tahun itu membintangi filem lucah terbitannya.

"Nadya semakin diminati dan kami boleh membantunya mengambil kesempatan di atas minat itu dan memasukkan wang dalam akaun banknya," kata pengerusi bersama syarikat itu, Steven Hirsch.

Bagaimanapun, sebuah syarikat lucah lawan memberi reaksi dengan menggesa Nadya tidak mengambil bahagian dalam filem lucah - dan menawarkan bekalan lampin pakai buang untuk kembar lapan itu selama setahun jika dia menolak tawaran syarikat Los Angeles itu.

Pengurus syarikat itu, Kim Kysar, berkata tawaran syarikatnya dibuat sebagai tanda 'tanggungjawab sosial.'

"Ia jelas tidak baik untuk anda, dan lebih penting, ia tidak baik untuk anak anda untuk menjadi bintang lucah. Seperti yang anda ketahui, stigma berat berhubung rapat dengan bintang lucah.

"Ia bukan sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan oleh ibu kerana keputusan yang diambil pasti memberi kesan kepada anak, bukan dalam cara positif," tulis Kysar.

Katanya, ia menawarkan Nadya bekalan lampin pakai buang setahun untuk anaknya.

"Ia tidak berharga sejuta dolar tetapi menerima tawaran kami akan memberi faedah secara langsung kepada anak anda dalam dua cara: mereka dijamin mendapat lampin kering, bersih dan ibu mereka tidak menjadi subjek sendaan yang tidak berkesudahan," katanya.

Nadya tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kenyataan. Tawaran lucah itu adalah perkembangan terbaru membabitkan Nadya dan kembar lapan yang dilahirkan pada 26 Januari lalu.

Kesnya mencetuskan kemarahan pakar kesihatan dan orang awam apabila didedahkan bayi itu diperoleh menerusi kaedah persenyawaan luar rahim dan Nadya sendiri sudah mempunyai enam anak di bawah usia tujuh tahun. �Agensi

No comments:

Post a Comment